Ramai orang yang tahu, tapi tidak ramai orang yang sedar.
Jikalau ditanya tentang tanggungjawab seorang suami, majoriti semua suami di dunia tahu tentang tanggungjawab sebagai seorang suami.
Terutamanya bab nafkah.
Semua suami mahupun bakal-bakal suami sedia maklum dan tahu bahawasanya mereka bertnggungjawab dan dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk memikul satu amanah bahawa pemberian nafkah kepada keluarga, anak dan isteri adalah tanggungjawab mereka.
Jikalau ditanya kepada semua suami,pastinya jarang-jarang kita dengar yang seumur hidup mereka tidak pernah tahu tentang tanggungjawab tersebut.
Sejak dibangku sekolah lagi sudah diajar, sebelum kahwin sudah diingatkan berulang kali, ketika kursus kahwin, ketika khutbah nikah juga sudah disebutkan, tetapi, malangnya tahu sahaja tidak cukup, perlu timbul kesedaran dalam hati tentang betapa besarnya taklifan tersebut yang telah Allah amanahkan kepada suami yang merupakan ketua keluarga dan juga orang yang bertanggungjawab dalam melindungi keluarga, isteri dan anak.
Ayat ((Ar-rijal qawwamuna 'alan-nisa' (Lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita) ( An-Nisa, [4]: 34)sepatutnya diamati dan dihayati oleh semua para suami. Malangnya, realiti kehidupan apabila ramainya manusia yang tahu, hatta,kalau ditanya dalam peperiksaan pun, sangat ramai yang boleh menjawab segala soalan berkaitan agama, tetapi kurangnya yang sedar tentang apa yang dipelajari.
Maka berlakulah kepincangan dalam institusi kekeluargaan contohnya apabila telah hilang kesedaran tersebut dalam diri.
Tepuk dada tanya iman dalam hati. Moga-moga muncul kesedaran dalam diri. Jangan kelak segala kesilapan, segala dosa akhirnya dianggap biasa, dan apabila seorang isteri akhirnya menuntut haknya, isteri juga akhirnya disalah erti.
Seorang isteri sangat senang menzahirkan kasih sayangnya dari segi perkataan mahupun perbuatan, sedangkan suami tidak ramai yang pandai menzahirkan kasih sayang, maka seharusnya ditunjukkan dari segi perlaksanaan tanggungjawab, diberi nafkah, cukup pakai makan mengikut kemampuan suami.
Akan tetapi, apabila seorang suami mula mengabaikan tanggungjawab tersebut, maka disitu timbul persoalan di hati isteri, Masih sayangkah suami itu terhadap dirinya? Sejuta persoalan mula timbul, jenuh isteri mencari-cari dan tercari-cari dimanakah silapnya?
Pening, keliru, buntu. Asal ditanya tentang nafkah, maka perang dunia yang bakal meletus. Akhirnya isteri mengambil jalan pintas, sudah letih berbalah, lebih baik berdiam, jangan ditanya lagi tentang nafkah, maka tiada lagi perbalahan. Tenang. Sesungguhnya rezeki Allah masih banyak, masih luas, biarkanlah suami begitu.
Maka, isteri meneruskan kehidupan seperti biasa, anak disiapkan, dididik seperti biasa, diberi makan, cukup pakai segalanya ditanggung isteri.
Rumah juga diuruskan segala keperluan isi rumah ditanggung seperti biasa.
Maka kehidupannya berjalan seperti biasa, nampak tenang, nampak bahagia di mata semua orang.
Tetapi di dalam hati isteri, Allah sahaja yang tahu.
Suami? Masih begitu. Leka dengan kehidupannya yang merasakan biasa dan tidak bersalah atas pengabaian tanggungjawabnya.
Itulah realiti kehidupan, apabila ramainya insan yang mengetahui tetapi hilangnya kesedaran dalam diri.
Itu contoh biasa tentang manusia yang tahu tetapi tidak sedar, begitu banyak contoh lain dalam kehidupan yang boleh dikaitkan, tentang solat, puasa, zakat, apa sahaja.
Orang kita bukan lagi seperti dahulu, ilmu agama tidak sukar lagi dicari, di televisyen, mahupun internet juga terlalu banyak ilmu yang boleh dicari, tetapi,itulah lumrah kehidupan, tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza,tahu sahaja tidak memadai.
Sekadar renungan bersama.
wallahua'lam bissowab.
No comments:
Post a Comment